Beberapa hari lagi kita akan menyambut Ramadhan. Hayya Ya Ramadhan. Di sisi Allah Puasa Ramadhan merupakan suatu ibadah yang begitu istimewa sehinggakan nilaian ganjarannya ditentukan olehNya mengikut kehendaknya tidak sama dengan amalan ibadah yang lain. Abu Hurairah RA berkata Nabi SAW bersabda: ِAllah berfirman:
كل عملابن ادم له الا الصيام فانه لي وانا اجزي به والصيام جنة
(Kullu ‘amalibni A-dam lahu illas siyam, fainnahu li wa ana ajzee bihiwas siyaamu junnatun) yang bermaksud: Semua amalan anak Adam adalah untuk dirinya kecuali puasa, maka sesungguhnya Puasa adalah untukKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Dan puasa itu suatu perisai…. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mungkin ada orang berkata agak terlalu awal untuk berbicara pasal Ramadhon. Tidak! Tidak sama sekali bagi orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa kerana mereka sentiasa menunggu setiap Ramadhon dengan penuh harapan dan kasih sayang. Meskipun hanya 2 minggu lagi saat ketibaan Ramadhon, kita tidak boleh terlalu yaqin yang kita akan bertemu dengan Ramadhon. Entah-entah nama kita tersenarai dalam mereka yang akan dipanggil oleh Allah. Ya Allah ketemukanlah kami dengan Ramadhon lagi, bulan yang penuh rahmat, maghfiroh dan bulan yang memberi peluang kepada kami untuk berdoa dibebaskan dari api neraka (’itqun minannar).
Dalam satu hadis lain dari Sahl bin Saad RA yang meriwayatkan Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya di syurga ada pintu masuk bernama Ar-Royyan, tempat masuk orang yang berpuasa…”
Sekiranya Ramadhon kali ini yang pertama bagi saudara baru (converts), inilah peluang untuk anda melatih diri berpuasa. Memang bulan Ramadhon merupakan bulan latihan/tarbiyyah bagi Muslim dengan harapan menjadi seorang yang bertaqwa. Tidak dinafikan setiap kita mempunyai kelemahan dan kita terpaksa melupakan amalan secawan kopi atau sepotong rokok di pagi hari ketika puasa bermakna meninggalkan atau mengurangkan pengambilan kafein atau nikotin. Alangkah baiknya kalau kita dapat meninggalkan terus pengambilan nikotin (rokok) hasil dari tuntutan Ramadhon meninggalkan yang haram atau paling tidaknya makruh tahrim (makruh yang dilarang). Ya…berpuasa dan meninggalkan menghisap rokok…boleh dijadikan sebagai azam berhijrah meninggalkan perkara yang telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan juga Majlis Fatwa Dunia-rokok adalah haram.
Bukanlah maksud saya untuk menjadi pemfatwa dengan nada ‘ha za halalun wa ha za haromun’ kerana saya bukan mufti tetapi lebih kepada melihat kedudukan amalan merokok yang tidak siapa yang menafikan ia suatu amalan yang tidak baik…
0 comments: