Puasa
Amalan di bulan Ramadan
1.
Apakah kelebihan-kelebihan pada bulan Ramadan?
Bulan Ramadan mempunyai banyak kelebihan yang jika dihitung, maka ia akan menjadi senarai yang amat panjang. Antaranya adalah setiap amalan soleh dalam bulan ini digandakan pahalanya berlipat kali ganda. Bulan ini juga merupakan bulan di mana para Syaitan diikat oleh Allah s.w.t, pintu-pintu Syurga dibuka dan pintu-pintu Neraka ditutup. Bulan ini juga merupakan bulan latihan untuk bersabar dan mengingatkan kita akan kesusahan mereka yang kekurangan makan dan minum. Ia juga bulan Al-Quran dimana Al-Quran diturunkan dalamnya, dan mempunyai satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan.
Amat rugilah mereka yang tidak mengambil manfaat dari bulan ini.
2.
Apakah cara terbaik untuk saya menghayati bulan Ramadan dan menambah amalan di dalamnya?
Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al- Baqarah ayat 185 yang bermaksud: “Bulan Ramadan diturunkan padanya Al Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan yang batil).” Sesuai dengan bulan Al-Qur’an ini, maka penghayatannya melibatkan tiga cara: 1. Berusaha membanyakkan amal baik dengan tujuan mengukuhkan keimanan dan mendapat keredhaan Allah S.W.T. 2. Mempertingkatkan ilmu, melalui pembacaan dan pengkajian Al-Quran, serta mempelajari sejarah Baginda Rasulullah S.A.W. 3. Menghayati nilai murni yang ditunjukkan dalam Al-Qur’an, terutama dari sudut akhlak. Tingkah laku kita sebagai orang yang beriman harus mencerminkan akhlah mulia yang diajar dalam kitab tersebut. Penghayatan bulan Ramadan danAl-Qur’an tidak terbatas dalam lingkungan solat dan puasa secara ritual sahaja. Malah, lebih dari itu, kita mesti menghayatinya dalam setiap aspek kehidupan seharian kita dan melahirkannya dalam tingkah laku, pertuturan dan gerak hati .
3.
Bilakah Lailat-ul-Qadr?
Tidak ada sesiapa yang boleh memastikan bilakah Lailat-ul-Qadr itu akan datang. Terdapat ramai ulama yang berpendapat bahawa ia jatuh pada malam 27 Ramadan. Akan tetapi, ia hanyalah satu ramalan dan bukanlah sesuatu yang pasti. Ini kerana ia sebenarnya boleh jatuh dimana-mana malam dari malam Ramadan yang pertama hinggalah malam yang terakhir. Juga tiada ayat Qur’an atau Hadith yang sahih yang mengatakan tentang bila sebenarnya Lailat-ul-Qadr.
4.
Apa hukumnya solat tarawih?
Solat tarawih adalah sunnah yang sangat digalakkan pada malam-malam Ramadan. Ia adalah ibadat khusus di dalam bulan Ramadan, dan tidak dilakukan pada bulan-bulan lain.
5.
Apakah kelebihan Solat Tarawih?
Solat Tarawih mempunyai banyak kelebihan kerana ia adalah ibadat solat yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya.
Namun, Rasulullah s.a.w tidak menyatakan fadilatnya yang khusus. Baginda juga tidak menyatakan fadilat solat Tarawih bagi setiap malam. Apa yang tersebar dari fadilat solat Tarawih bagi setiap malam yang berbeza, itu bukan hadith Rasulullah s.a.w, tetapi ciptaan manusia yang tidak berasaskan Al-Quran dan Hadith.
6.
Bagaimanakah caranya menunaikan solat terawih?
Solat terawih adalah sangat digalakkan pada malam-malam Ramadan. Ia adalah ibadat khusus di dalam bulan Ramadan, dan tidak dilakukan pada bulan-bulan lain.Masanya adalah setelah seseorang itu mengerjakan solat fardu Isyak. Afdal (utama) dikerjakan berjemaah di masjid. Namun, boleh dikerjakan bersendirian juga.Solat terawih boleh dilaksanakan sebanyak 8 rakaat, 20 rakaat atau 36 rakaat, setiap 2 rakaat dengan satu salam. Cara menunaikannya adalah sama seperti solat sunat biasa (seperti sunat qabliyah (sebelum) atau ba’diyah (selepas) bagi solat fardhu lima waktu).
Menurut hadis Imam Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah R.A. maksudnya: "Adalah Rasulullah S.A.W. sangat sukacita menganjurkannya supaya beramal di malam-malam bulan Ramadan, hanya Baginda itu tidak menganjurkannya dengan keras. Baginda S.A.W. bersabda: "Sesiapa yang menunaikan ibadat solat pada malam-malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah S.W.T., nescaya diampunkan oleh Allah dosa-dosanya yang lalu."
7.
Bagaimana saya boleh mengerjakan solat witir?
Witir bermakna angka yang ganjil. Solat witir boleh dikerjakan pada tiap-tiap malam dan yang lebih afdal adalah pada bulan Ramadan, samada bersendirian atau berjemaah. Solat ini dikerjakan sekurang-kurangnya 1 rakaat dan boleh dikerjakan 3 rakaat, 5 rakaat, 7 rakaat, 9 rakaat dan sebanyak 11 rakaat. Imam Abu Daud dan an-Nasa'i telah meriwayatkan sebuah hadis dari Abu Ayyub yang maksudnya: "Rasulullah SAW pernah bersabda" Solat witir itu adalah benar. Siapa yang suka mengerjakannya lima rakaat, kerjakanlah. Siapa yang suka mengerjakannya tiga rakaat kerjakanlah, dan siapa yang suka mengerjakannya satu rakaat sahaja pun, kerjakanlah." Niat witir dua rakaat di dalam jemaah adalah seperti: "Sahaja aku solat witir dua rakaat menjadi makmum kerana Allah ta’ala." Niat witir satu rakaat pula di dalam jemaah adalah seperti: "Sahaja aku solat witir satu rakaat menjadi makmum kerana Allah
8.
Bolehkah seseorang itu bangun malam dan bersolat witir sekali lagi walaupun sudah melakukannya di masjid?
Solat witir boleh dilaksanakan dari 1 sehingga 11 rakaat. Ia dilaksanakan selepas solat terawih di kebanyakan masjid untuk menutup tirai solat di waktu malam di dalam bulan Ramadan. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang itu telah menunaikan solat witir sebanyak 3 rakaat selepas terawih dan kemudian bangun di waktu malam menunaikan solat tahajjud, ia boleh menunaikan solat witir sebagai penambahan bagi 3 rakaat yang dilaksanakan selepas terawih. Caranya adalah dengan hanya bersolat 2, 4, 6, atau 8 rakaat dengan niat “Sahaja aku dirikan 2 rakaat dari solat sunat witir kerana Allah ta’ala.” Dengan demikian, ia tidak dikira mendirikan 2 witir pada satu malam kerana Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Tidak ada dua witir pada satu malam."
0 comments: